Tuesday, November 2, 2010

Ilmu yang berguna

Bismillahirahmanirahim...

Saat ini aku masih lagi berkursus di Hotel Seri Malaysia Mersing. Alhamdulilah telah masuk hari kedua dan hanya tinggal sehari sahaja lagi iaitu esok sebelum kursus tamat. Syukur kerana penginapan dan kemudahan yang disediakan di sini adalah sangat selesa. Terasa seperti bercuti pula di sini. Sudahlah tempatnya tepi laut, dapat penginapan yang selesa dan makanan yang sedap.

Selain itu, ilmu yang diperolehi sepanjang kursus setakat ini juga insyaallah amat berguna untuk aku gunakan dalam pengajaran aku nanti. Memandangkan aku yang merupakan guru opsyen Kemahiran Hidup yang mengajar Bahasa Melayu maka kursus ini dirasakan dapat memberikan ilmu baru untuk aku. Harapnya aku akan terus diberikan peluang untuk belajar dan menimba ilmu dan pengalaman.

p/s: Cuti sempena Deepavali 3-7 NOvember

.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Monday, November 1, 2010

Motivasi diri

Bismillahirahmanirahim...

Ada beberapa quotes yang aku jumpa di internet dan menarik hati aku dan insyaallah boleh aku gunakan sebagai sumber motivasi untuk diri...








.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Sunday, October 31, 2010

Kursus LINUS Bahasa Melayu

Bismilahirahmanirahim...


Minggu-minggu terakhir persekolahan agak memenatkan. Tapi alhamdulilah, syukur kerana beberapa kerja telah pun selesai. Aku dah selesai menanda kertas dan markah pun dah serah kepada setiausaha peperiksaan. Fail KWAPM, RMT dan PSS pun dah 70% siap. Buku-buku di pusat sumber dah 40% diproses. Disebabkan beberapa kerja telah dan hampir selesai maka berkurang la sikit tekanan.

Dan aku tinggalkan sementara kerja-kerja di sekolah untuk menghadiri kursus LINUS Bahasa Melayu tahun 2 di Hotel Seri Malaysia di Mersing. Kursus ni akan berlangsung selama tiga hari iaitu dari 1 november hingga 3 november. 3 november sekolah telahpun mula bercuti untuk sambutan Deepavali sehingga 7 november. Terpaksalah aku korbankan sehari demi untuk kursus tersebut. Mujur juga tak berniat nak balik ke kampung. Tapi insyaallah akan habiskan cuti Deepavali bersama sepupuku di Kuala Lumpur.

Jadi seminggu ni masa aku akan banyak dihabiskan di perjalanan. Esok akan bertolak ke Mersing dan akan kembali ke Pasir Gudang pada hari Rabu. Jika tiada aral insyaallah Khamis akan bertolak pula ke Kuala Lumpur. Seterusnya ahad akan kembali semula ke Pasir Gudang untuk menghabiskan baki 2 minggu persekolahan.





.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Wednesday, October 27, 2010

Banyaknya.....penatnya

Bismillahirahmanirahim...

Alhamdulilah dalam kepayahan dan kesibukan aku masih lagi diberi kekuatan oleh Allah untuk mengharungi setiap hari dengan agak tenang walau emosi kadang-kadang tidak stabil. Sebab apa yer? Ohhh, buat masa sekarang 'to do list' aku di sekolah bolehlah dikatakan sangatlah panjang. Boleh berpinar biji mata tatkala membaca. Ada yang dah selesai tapi tak dinafikan yang pending and in progress juga masih banyak. Belum lagi termasuk yang belum mula apa-apa lagi.

Segala benda kena diselesaikan sebelum balik bercuti hujung bulan ni. Ohh...itu satu hal lagi. Kenikmatan bercuti di maktab sudah lagi tak dapat dinikmati. Tahun ni aku diarahkan bertugas seminggu awal cuti dan seminggu akhir cuti. Tapi takda hal sangat la kot disebabkan cuti akhir tahun panjang.

Di sebalik kesibukan ni aku tak menyesal ditukarkan ke sekolah ni kerana di sini aku berpeluang belajar banyak perkara. Sekarang aku sudah boleh mengendalikan mesin photosatat dengan baik. Jadi lepas ni kalau agak-agak tak cukup duit boleh la mintak 'part time' di kedai photostat. Selain tu aku pun sudah faham tentang sistem fail panitia dan HEM memandangkan dua panitia dan 4 unit HEM adalah di bawah tanggungjawab aku. Buat masa sekrang fail panitia sudah hampir siap. Fail HEM pula belum buat apa-apa lagi selain daripada baru jer mengambil fail dari kerani.

Sekarang ni kalau barang yang comel-comel begitu senang sekali hilang di sebalik timbunan buku, fail dan kertas. Agak-agak rasa macam nak pitam juga bila tengok tempat sendiri yang dah makin serabut. Sebelum balik baru aku kemas sebab takut orang lain pula yang pitam tengok tempat aku kalau aku tinggal macam tu jer.

Ohh...minggu ni adalah minggu peperiksaan. Minggu yang bukan sahaja untuk menilai prestasi murid bahkan menilai keberkesanan pengajaran aku juga. Jadi tekanan kerja sudah bercampur dengan tekanan perasaan dengan jawapan murid-murid yang membuatkan aku rasa macam nak hentak kepala sendiri kat dinding jer. Agaknya aku kena kaji balik teknik pengajaran aku. Pendidikan Sivik dan kewarganegaraan pun boleh gagal. Nasib baik sorang jer yang gagal. Kalau ramai memang terus pitam la cikgu awak ni, wahai anak-anak didikku. Harap-harap kertas untuk hari seterusnya ni akan mampu menenangkan perasaan aku.


p/s: 3 Skrip kertas periksa dan siap tanda...tinggal 7 lagi. Jumlah budak yang sedikit membolehkan aku tanda di sekolah saja.


.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Sunday, October 17, 2010

Garang sangat?

Bismillahirahmanirahim..

Pagi Jumaat yang cerah setelah selesai bersarapan di kantin sekolah, cikgu-cikgu pun bergerak ke bilik guru dan ke kelas masing-masing. Semua murid sudah pun masuk ke kelas. Namun, tanpa kami sedari rupanya masih ada seorang yang belum masuk ke kelas dan masih berdiri di depan pintu pagar sekolah sambil ditemani oleh ibunya.

Setelah didekati rupanya muris itu adalah murid kelas aku. Walaupun dipujuk oleh cikgu-cikgu dan pekerja sekolah namun dia masih enggan masuk ke kelas. Setelah kami menyuruh ibunya pulang maka berlakulah adegan tarik menarik demi memastikan murid yang terkenal dengan nama 'Bujang' itu masuk ke kelas. Dan kerana 'Bujang' pagar sekolah ditutup sepanjang waktu persekolahan demi mengelakkannya melarikan diri.

Setelah disiasat rupanya dia enggan masuk kerana tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan cikgu. Dan cikgu tersebut adalah aku. Maka keluarlah kenyataan dalam nada bergurau daripada mulut guru-guru lain.

"Hah, cikgu ni la garang sangat sampai budak takut masuk kelas"


Persoalannya, garang sangat ke aku ni? Tapi rasanya tak pernah pula aku marah membabi buta jer. Pukul pun jarang sekali. Kalau tak siap kerja pun aku denda berdiri sepanjang waktu aku atau berdiri sambil angkat sebelah kaki. Dalam pada aku garang ni pun selalu jer ramai yang tak siap kerja rumah. Ikutkan bilangan murid patutnya satu kelegaan, tapi sama jer aku sakit kepala memikirkan perangai selalu tak buat kerja atau kalau buat pun sekadar melepaskan batuk di tangga. Bukan aku saja malah cikgu-cikgu lain pun sama. Jadi biarlah rekod aku sebagai cikgu garang tu kekal supaya tak bertambah ramai yang tak siap kerja. Rasanya buat masa ni hanya 3 orang jer murid tahun 4 tu yang tak kalis dengan kegarangan aku ni. Segala macam denda dah bagi sampai cubit pun dah. Tapi masih sama jer perangai dan alasan kenapa tak siap adalah lupa.

Jadi pada hari jumaat, aku terlibat sama dalam adegan memujuk Bujang masuk ke kelas, namun jangan harap la nak terlepas daripada didenda kerana tak menyiapkan kerja rumah tersebut. Dan hari jummat tiga orang telah didenda berdiri sepanjang waktu Bahasa Melayu kerana tak siapkan ulasan dan pembetulan tatabahasa. Dan muka yang sama juga akan didenda pada masa akan datang. Tahun depan aku nak pakai pendekatan lain la plak untuk 3 orang ni setelah nampaknya dendalogy dan pukulogy tak memberi apa-apa kesan kepada mereka.

p/s: 26 Oktober peperiksaan akhir tahun akan bermula...lega...dapatlah berehat daripada membebel.



.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Saturday, October 16, 2010

Sibuk, menyibuk dan kesibukan

Bismillahirahmanirahim...


Diam tak diam, hanya tinggal beberapa minggu saja lagi sebelum tamatnya sesi persekolahan 2010. Dan di waktu ini cikgu-cikgu di sekolah aku sedang sibuk membuat fail dengan harapan tak perlu stay back waktu cuti untuk siapkan fail. Tapi sekarang ni kami tumpukan untuk siapkan fail-fail panitia dulu sebelum menyiapkan fail HEM pula. Disebabkan sistem fail sebelum ni agak kucar-kacir maka kami perlu bekerja keras sedikit. Dan dek kerana kuantiti cikgu yang kecil maka ada beberapa guru terpaksa memegang dua panitia dan beberapa jawatan dam unit HEM dan aku adalah salah seorangnya. Fail panitia kemahiran hidup dan panitia kajian tempatan adalah di bawah jagaan aku yang juga merupakan ketua panitia kedua-dua mata pelajaran.

Tertekan? Tak dinafikan agak tertekan. Tapi aku ambil ni sebagai sesuatu yang positif. Bagi aku ni merupakan masa untuk aku belajar. Jika sebelum ni aku tidak berpeluang nak belajar semua ni disebabkan berada di sekolah yang besar dimana bilangan guru adalah besar. Jawatan yang aku pegang di sekolah lama juga hanyalah ahli jawatankuasa. Tapi di sekolah baru ni aku bukan lagi ahli jawatankuasa yang hanya menjalankan kerja-kerja kecil. Jawatan yang aku sandang memerlukan aku untuk bekerja keras demi menyiapkan semua tugasan dalam bidang tugas aku.

Selain daripada ketua panitia aku juga diberikan tanggungjawab sebagai guru kelas, setiausaha KWAPM, guru RMT. Dan banyak perkara yang perlu kami sebagai guru uruskan sendiri. Namun aku rasakan aku agak bernasib baik kerana cikgu-cikgu lain sangat membantu. Boleh dikatakan kami saling bantu-membantu antara satu sama lain. Satu kelegaan di sebalik tekanan dan bebanan kerja. Insyaallah, hasil kerja keras kami tahun ni, sistem fail sekolah kami akan lebih sistematik pada tahun hadapan. Dan kami tak perlu lagi risau dan gundah gulana sekiranya PPD atau JPN menyerbu sekolah. Harapnya kami akan diberikan kekuatan dan ketabahan untuk terus membawa perubahan kepada sekolah SKM ini.


.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Award


Dapat award daripada kak areleez...
terima kasih masih sudi jengah ke sini




.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Wednesday, October 13, 2010

Sudah wajib ke??

Bismillahirahmanirahim...

Kebelakangan ni, sejak aku menamatkan pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan aku dah seperti wajib menjawab soalan-soalan berikut:

"dah kahwin ke belum?" (soalan daripada kawan-kawan yang dah lama tak jumpa)
"bila lagi"
"dah ada calon?"
"bila nak kahwin?"

Huh...lelah dan penat rasanya nak menjawab soalan yang sama. Hinggakan aku terfikir... sudah wajib berkahwinkah dalam usia aku ni?? Sedangkan aku baru sahaja nak merasa berada di alam pekerjaan. Belum puas rasanya aku menghabiskan duit dan tenaga kepada keluarga yang selama ni menjadi tulang belakang kejayaan aku. Selain itu, kalaulah jodoh itu seperti membeli ikan di pasar....pastilah mudah. Namun ini merupakan pilihan atau keputusan masa depan yang merupakan perjudian hidup...biarlah aku dikatakan memilih asalkan tidak tersalah pilih. Buat masa sekarang, aku cuba untuk tidak terlalu memikirkannya kerana aku punya rancangan sendiri... Di samping itu, kepada Allah aku panjatkan doa agar jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cinta kepadaNya...agar tidak berkurang cintaku kepadaNya....



.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Monday, October 11, 2010

Mencari semangat yang hilang

Bismillahirahmanirahim...

Agak lama jugak rasanya aku tidak menulis dan berkongsi rasa serta cerita di sini....sedang mencari kembali semangat menulis yang hilang...banyak yang ingin dicerita dan dikongsi bersama terutama sekali cerita dan pengalaman sebagai pendidik...


.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Sunday, July 11, 2010

Saya yang menurut perintah

Sudah agak lama membiarkan ruangan ini kosong tanpa cerita...Cerita terbaru, aku telah pun 'dipindahkan' ke sekolah baru dan telahpun memulakan tugas di sekolah baru pada 18 Jun..Benarlah setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Setelah hampir 6 bulan di SK Masai, akhirnya aku tinggalkan juga mereka di sana demi yang lebih memerlukan di Sk Perigi Acheh..Dan sebagai seorang penjawat awam aku perlu akur pada setiap arahan..


Tidak dapat aku nafikan pada mulanya memang sedih nak meninggalkan warga Sk Masai. Namun setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya...aku memulakan langkah ke Sk Perigi Acheh dengan fikiran bahawa mungkin aku sesuatu yang baik menanti aku di Sk Perigi Acheh..Mujur juga aku tidak perlu berpindah rumah kerana jarak sekolah tidaklah terlalu jauh dari rumah aku...

Selama hampir dua minggu berada di Sk Perigi Acheh, alhamdulilah aku semakin dapat menyesuaikan diri..Aku diberikan tugas sebagai guru kelas tahun 4, ketua panitia KH dan KT, guru RMT dan KWAPM serta beberapa tugas sampingan yang lain..Melalui pemerhatian aku sepanjang 2 minggu, dapat dilihat bahawa aku akan berpeluang belajar banyak perkara...dan Insyaallah harapku seperti doa 'kakak-kakak' dan 'abang-abang' di Sk Masai, aku akan temui kejayaan dan kebahagiaan di SK Perigi Acheh...



Sk Perigi Acheh

Membawa murid ke pantai untuk subjek KH


Info tentang Sk Perigi Acheh
  • Kategori sekolah- SKM
  • Terletak di sebuah perkampungan nelayan, Kg Pergigi Acheh
  • Terletak di pinggiran laut
  • Mempunyai 65 murid tahun 1 hingga 6 dan 14 murid pra sekolah
  • Mempunyai 13 orang guru
.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Friday, May 28, 2010

Hujung minggu yang panjang

Minggu ni agak menyeronokkan kerana dapat cuti hujung minggu yang panjang setelah 2 minggu tidak dapat berehat dengan sepenuhnya di hujung minggu...Rancangan asalnya mau ke KL..Tapi akhirnya dibatalkan kerana tiba-tiba terasa macam tiada perasaan pulak nak ke KL. Mungkin disebabkan perasaan nak balik kampung untuk bercuti adalah lebih tinggi...Sabtu 5 Jun Insyaallah akan pulang ke kampung sempena cuti sekolah selama dua minggu...

Jadi apa yang aku buat tiga hari ni?? Hari ni hampir setengah hari juga di Plaza Angsana..dan pulang dengan hanya membeli sepasang kasut...memang tak berniat untuk bershopping..niat asal memang nak mencari kasut...dan Alhamdulilah dapat kasut yang berkenan di hati dan kasut tu pun ada diskaun..jadinya memang murah la..Cuma Rm29 sajer..puas la walaupun penat berada seharian di sana...Setelah bergaji ni..tu la kasut pertama yang dibeli. rasanya...tu pun disebabkan kasut lain yang sudah rosak dek kerna koridor sekolah yang selalu 'banjir' setiap kali hujan lebat..

Rancangan esok nak mencari beberapa barang lain dalam wishlist yang belum lagi dapat sampai sekarang...dan ahad adalah sesi memanjakan diri di rumah...menyelesaikan segala kerja rumah dan berehat sebelum memulakan kembali tugas pada hari isnin di minggu terakhir persekolahan penggal pertama..

p/s: 1-4 Jun adalah minggu peperiksaan...saat untuk menilai prestasi murid dan juga saat untuk menilai prestasi diri sendiri sebagai guru juga...


.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Wednesday, May 19, 2010

Warna -warni Sambutan Hari Guru

Sudah beberapa hari berlalu baru la sempat nak update...nak cerita tentang sambutan Hari Guru..Ini merupakan sambutan HAri guru yang pertama sebagai seorang guru..Sebelum ni sambut HAri Guru sebagai guru pelatih..Bagi tahun pertama ni ada dua sambutan.. Yang pertama jamuan Hari Guru pada hari ahad 16 Mei di Hotel Selesa, Pasir Gudang dan sambutan kedua di sekolah bersama murid-murid..

Jamuan sempena Hari Guru di Hotel Selesa sangat menyeronokkan...tidak hanya diisi dengan makanan yang sedap-sedap tetapi juga aktiviti dalam kumpulan...terdapat dua aktiviti..yang pertama peras otak iaitu aktiviti menyusun semula sajak atau syair dan kemudian mendeklamasikannya mengikut kreativiti masing-masing...waktu mendeklamasikan sajak atau syair tu lah yang membuatkan kami tak kering gusi...ada macam-macam gaya yang sangat kelakar..ada yang buat versi sengau, versi jawa, versi omputih dan macam-macam lagi la...Untuk aktiviti pertama kumpulan aku berjaya mendapat tempat pertama...memang benar kata seorang ahli kumpulan aku...biar sedikit asal berkualiti...kumpulan aku mempunyai ahli kumpulan yang paling sedikit tapi berjaya juga kami mengalahkan kumpulan lain yang lebih ramai...

kumpulan yang paling sedikit ahli..kumpulan lain 10 orang



Aktiviti kedua pula menyusun puzzle...utuk aktiviti ni kumpulan aku dapat tempat terakhir...ini adalah disebabkan halangan lampu yang membuatkan kami keliru warna ditambahkan pula jumlah ahli yang rabun adalah lebih ramai...tapi walau apa pun tetap masih seronok...hadiah tetap dapat...

ahli-ahli kumpulan aku yang sedang tekun menyusun puzzle

Kek coklat yang mervellous

kek aiskrim yang delicious

Sambutan yang kedua pun tak kurang menyeronokkan...persembahan murid-murid yang sangat menarik...boleh tengok macam-macam gaya dan aksi...ada yang nyanyi lagu kanak-kanak..tak kurang juga yang menyanyi lagu-lagu indonesia...siap penonotn pun menyanyi beramai-ramai sampai bergema sekolah...rakan-rakan guru yang lain juga sangat sporting...dan semuanya sangat gila bergambar..i was really enjoyed it...

penonton: murid sesi petang tahun 1 hingga tahun 3

penonton yang sangat kusyuk



murid tahun 1

cikgu-cikgu berposing

p/s: SELAMAT HARI GURU BUAT SEMUA WARGA PENDIDIK...

.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Tuesday, May 11, 2010

Fogging @ semburan nyamuk

gambar yang digoogle

Sampai di rumah hari ni lebih kurang pukul 6.40...baru je buka pintu rumah rakan serumah aku cakap ada semburan nyamuk atau fogging...sekali lagi...minggu lepas dah disembur...dia cakap ada announcement tapi aku ingatkan tak jadi sebabnya tak nampak pun van kat simpang jalan waktu aku balik dari sekolah...aku terus la serbu makanan dulu...tengah sedap makan dengar la bunyi mesin fogging tu dah dekat...bila housemates aku keluar, tengok dah sampai depan rumah pun...terus aku berhenti makan dan basuh tangan...tutup makanan, pakai tudung, capai kunci kereta dan terus keluar ke Econsave yang 5 minit sahaja dari rumah aku..Aku biarkan sahaja kipas dan slidding door terbuka...

Masa kami balik pun asap masih tebal dalam rumah..boleh sesak nafas kalau duduk dalam rumah...lepas ni nak kena mop lantai pula..dah melekit kaki bila pijak lantai...tak suka baunya..harap-harap minggu depan dah tak ada...penat la kalau setiap kali balik sekolah kena hadap benda ni...bau dah la tak best...kalau bau strawberi ke sedap la jugak...

p/s: Penat latih murid tahun 1 untuk persembahan sempena hari guru







.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Tuesday, May 4, 2010

Syukur alhamdulilah


Masa begitu pantas berlalu... Tanpa disedari rupanya sudah hampir dua bulan aku berada di sesi petang dan mengajar LINUS...Alhamdulilah setelah hampir dua bulan dengan mereka dapat dilihat sedikit perubahan dalam prestasi mereka.. Ada dua kelas yang aku ambil untuk ajar LINus ni..13 orang dari kelas 1 Amanah..untuk kelas Amanah ni tidaklah menjadi masalah sangat untuk aku kerana murid-murid dari kelas ni kebanyakkannya sudah megenal huruf dan boleh membaca..tambahan pula 13 orang yang aku ambil merupakan murid yang sudah boleh membaca..



Yang menjadi masalah adalah kelas 1 Afiat..daripada 15 orang yang aku ambil...7 orang daripadanya adalah merupakan murid yang langsung tidak mengenal huruf...yang selebihnya pula masih merangkak-rangkak mengenal suku kata...Tapi itu adalah 7 minggu yang lepas..minggu ni aku sangat gembira dan terharu kerana jumlah murid yang tidak mengenal huruf telah berkurang kepada 3 orang...bermakna 4 daripada 7 orang murid sudahpun mengenal huruf dan ada yang sudah boleh mengeja suku kata KVKV....manakala yang selebihnya pula sudah boleh menguasai suku kata KVKVKV...



Bagi aku itu adalah merupakan kegembiraan yang tiada tolok bandingannya...bermakna penat lelah aku selama 7 minggu ni adalah berbaloi...dan membuatkan aku semakin berkobar-kobar untuk berusaha lebih gigih lagi supaya mereka melangkah setapak lagi hari demi hari sehinggalah boleh membaca dengan lancar...kerana mereka aku kecintaan aku terhadap bidang pendidikan ini semakin mendalam...dan semakin hari aku semakin sayang mereka walau kadang kenakalan mereka sangat memeningkan kepala aku...



Dulu aku fikirkan yang mengajar tahun satu adalah sukar...namun atas bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru-guru yang lebih senior..Alhamdulilah aku dapat melalui 7 minggu dengan baik..aku berdoa agar aku akan sentiasa diberikan peluang untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa demi 'mereka'...Moga ditabahkan juga hati aku untuk menghadapi kerenah mereka yang pelbagai setiap hari...dan dibukakan pintu hati mereka untuk lebih mudah menerima ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru mereka setiap hari...


p/s: Pemantauan dari PPD (bkn JPN) telah selesai...satu kelegaan untuk semua guru...terutama sekali guru-guru yang terlibat..




.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Monday, May 3, 2010

What we give, we get back

Sebuah cerita yang mungkin boleh dijadikan teladan dan pedoman dalam menjalankan kehidupan seharian..buat renungan diri sendiri dan sesiapa sahaja


***********************

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.

“Mengapa?” balas saya.

“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?” Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.

“Oh ramai encik…”

“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.

“Kakak, boleh saya bertanya?”

“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”

Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.

“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.

“Maksud encik?”

“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”

“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”

“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”

“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”

“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.

“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.

“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”

“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’

“Pasti ada! Insya-Allah.”

“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

“Subhanallah!”

“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”

“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”

“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”

“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?”

“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”

“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.

“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”

“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”

“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”

“Kenapa?”

“Kita akan sakit jiwa!”

“Kenapa?”

“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.

“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”

“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?




.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Sunday, May 2, 2010

Kerisauan

Hati tengah risau..
Selasa ada pemantau dari JPN..
akan berada di sekolah aku dari pukul 3 petang..
Makanya guru-guru petang kena bersedia..
Walau kami tidak la terlibat secara langsung...
Yang dirisaukan adalah aku belum lagi dipantau oleh mana-mana GPK..
Jadi belum ada la rekod pemantauan aku..
Sedangkan tu merupakan salah satu item yang akan dipantau nanti...
Jadi esok kena la aku jumpa GPK1 dan menanyakan hal ni...
Sepatutnya dah selesai rekod pemantauan aku
Tapi disebabkan ada hal-hal yang menghalang
jadi asyik tertangguh je la..



.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Friday, April 30, 2010

Selamat Hari Pekerja


Tanpa sedar rupanya esok kita bakal melangkah ke hari pertama bulan Mei..dan bakal bercuti sempena Hari Pekerja...jika tahun-tahun sebelum ni aku tidak berapa merasai cuti hari pekerja..tapi tahun ni buat pertama kalinya aku bercuti sempena hari pekerja sebagai seorang pekerja...aktiviti yang bakal dilakukan?? Esok rasanya mahu berehat di rumah sambil mengemas rumah dan membasuh kereta..selain itu rasanya nak masak laksa penang...dari minggu lepas tertangguh...minggu ni mesti masak juga laksa tu...sudah tak tahan...teringin sangat nak makan...kalau nak beli tak tahu pulak kat mana yang sedap kat Pasir Gudang ni...lebih baik la buat sendiri...puas hati sikit kot walau belum tentu sedap...hehehe


Hari Ahad pulak nak ke kenduri kahwin jiran mak sedara aku...dan usaha mencari tukang jahit untuk menempah baju kurung...ada dua pasang kain yang belum ditempah...sepasang aku dapat masa praktikum dulu dan sepasang lagi kain untuk baju seragam sekolah...mungkin kena pakai waktu sambutan Hari Guru 16 Mei nanti...jadi kena cepat-cepat tempah...dapat dh dekat sebulan...tapi disebabkan tak tahu tukang jahit yang ok..jadi tersimpan saja la baju tu...tukang jahit yang selalu aku hantar kat kampung pula tengah berehat dari menjahit sekarang...yang aku dengar dari cikgu sekolah aku RM45...sangat mahal la untuk baju kurung...selalu aku tempah di kampung baru RM18...nak cuba cari tukang jahit yang ambil lebih murah nanti...harap-harap ada...

p/s: Kepenatan...Selamat hari pekerja kepada semua rakyat Malaysia...Have a nive weekend




.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Saturday, April 24, 2010

Sekolah ganti di hari Sabtu


Hari ni hari sabtu...perlu ke sekolah seperti biasa...berada di sekolah sehingga 5.45 petang..mujur juga sesi petang balik awal sedikit berbanding selalu...walau hati rasa malas tapi tetap kena gagahkan juga...kena redha walau bekerja 6 hari seminggu kerana jika hati tak gembira yang bakal menjadi mangsa adalah anak-anak murid aku...perlu gembira juga dengan sekolah ganti pada hari sabtu demi untuk bercuti panjang ketika Aidilfitri nanti...apalah sangat jika mempamerkan sedikit kegembiraan pada hari ini berbanding akan mendapat kegembiraan yang tidak terhingga kerana bercuti panjang di Aidilfitri...lagipun hujung minggu lepas sudah puas berehat...minggu ni tiba masa untuk bekerja di hari sabtu..

p/s: Minggu ni Jom Heboh di Danga Bay...namun tidak berkeinginan pun nak ke sana...baik duduk di rumah daripada menempuh kesesakan lalulintas untuk ke sana...


.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Sunday, April 18, 2010

Berehat dengan sepuasnya


Alhamdulilah..akhirnya dapat juga berehat sepuas-puasnya di hujung minggu..tiada aktiviti sekolah di hari sabtu...jadi dua hari digunakan sebaik-baiknya untuk merehatkan badan dan minda yang dah penat bekerja selama lima hari...

petang sabtu sempat ke Jusco Tebrau City...berjaya merembat beberapa buah novel sebagai peneman dan terapi kebosanan nanti....selain membeli beberapa barang yang dah agak lama tidak dibeli...sekejapan saja berada di sana...tidak sampai pun dua jam rasanya tapi puas sebab yang dihajati telah pun diperolehi..

Hari ahad pula hanya berehat dan melepak di rumah...melayan novel...sudah habis membaca sebuah novel karya Aleya Aneesa berjudul "Aku Mahu Kamu"...Esok akan kembali bertugas seperti biasa...menjalani rutin 5 hari bekerja isnin hingga jumaat...dan sabtu 24 April dengarnya ada sekolah ganti.....sudah puas berehat...sudah bersedia untuk menghadapi kerja-kerja yang menanti...

.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Friday, April 16, 2010

Macam-macam

Tanpa disedari bulan April telah pun menjengah..hampir 2 minggu juga dada blog ni kosong tanpa luahan terbaru....banyak perkara yang berlaku dan perlu diuruskan kebelakangan ini...boleh dikatakan sedikit sibuk berbanding selalu...maklum la sudahpun bertukar ke sesi petang...kalau di sesi pagi dulu aku ada banyak masa waktu petang nak uruskan urusan peribadi..tapi bila dah berada di sesi petang ni...masa untuk urusan peribadi menjadi sedikit terhad...semua perkara perlu diuruskan di pagi hari...Antara yang berlaku sepanjang 2 minggu menyepikan diri di sini:
  • menghadiri majlis perkahwinan sahabat baikku di Kuala Lumpur pada 3 dan 4 April..walau penat menghadiri konvo belum hilang, namun aku gagahkan diri untuk pergi ke KL buat kedua kalinya dalam masa seminggu...
  • pergi mengambil cek gaji di Pejabat Akauntan Negara yang tertelak di bangunan KOMTAR.....disebabkan kesilapan orang lain telah menyusahkan hidup aku...bukan sahaja lambat menerima gaji tapi perlu ke JB pula nak ambil ceknya...tapi aku tahu ada hikmah di sebaliknya...mungkin lagi banyak aku dapat simpan bila dapat lambat ni....mujur juga ada insan yang baik hati sudi menunjukkan aku jalan ke KOMTAR yang terletak bersebelahan JB City Square itu...kalau tidak nescaya sesatlah aku di bandaraya JB...
  • mula menyesuaikan diri mengajar LINUS tahun 1...memang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi apabila mengajar tahun 1...tambahan pula dengan keadaan aku yang masih kurang pengalaman mengajar....walau kadang aku marah tapi disebabkan mereka jugalah aku semakin mencintai kerjaya sebagai seorang guru...apabila ada yang menunjukkan peningkatan walaupun sedikit...aku rasakan seperti berbaloi-baloi penat dan lelah...
p/s:.sangat rindukan MPH Midvalley...mau mencari terapi kebiasaan aku...di johor ni di mana ye?? Book storenya comel-comel belaka...ada tak yang setanding MPH Mid??

.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Monday, March 29, 2010

Short update

Alhamdulilah...


.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Friday, March 26, 2010

Hari yang dinantikan bakal tiba

Aku akan ke Kuala Lumpur..
Sangat tidak sabar kerana inilah yang dinantikan...
Majlis konvokesyen...
Akan berlangsung pada ahad 28 Mac
Di Hotel Nikko Kuala Lumpur...
Tidak sabar juga mau jumpa kawan-kawan...



.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Monday, March 22, 2010

Allah is the best planner


Baru dua minggu aku ambil alih jadi guru kelas..hari ini lagi sekali mendapat berita yang tiba-tiba..aku akan bertukar ke sesi petang mulai rabu...waktu dapat tahu berita ni pagi tadi aku semacam tiada perasaan kerana walau tiba-tiba mungkin aku dah mempersiapkan diri aku kerana aku tau perkara seperti ni akan berlaku..ini disebabkan sekolah tersebut sudah pun mempunyai guru yang mencukupi...maka apabila 4 orang guru baru melapor diri maka jadilah lebihan guru di sekolah tersebut...jadi aku bakal menjadi mangsa keadaan kepada sistem yang agak bercelaru...mungkin selepas ni aku akan menerima berita perpindahan ke sekolah baru pula...bila-bila masa saja perkara tersebut boleh berlaku kerana keputusan tidak terletak di tangan aku...perubahan ini mungkin akan hanya akan melambatkan sedikit masa untuk aku dipindahkan ke sekolah lain...Walau berada di sesi mana sekalipun tugas aku masih tetap sama iaitu mendidik..jadi bagi aku semua yang terjadi ada hikmah...because Allah is the best planner..jika ini yang terbaik untuk aku maka aku kena menerimanya dengan fikiran yang positif...bersedia untuk mengubah rutin sedia ada.


.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Thursday, March 11, 2010

Tiba-tiba


Segalanya datang tiba-tiba...Tiba-tiba ada seorang guru di sekolah aku kena pindah....Maka dengan tiba-tiba aku ditugaskan untuk menjadi guru kelas 5 Amanah menggantikan guru tersebut..Tiba-tiba juga aku diberikan beberapa jawatan yang sebelum ini dipangku oleh guru tersebut...Semuanya berlaku dalam masa dua hari sahaja...dan minggu ni aku sudah memulakan tugas dan masih membiasakan diri dengan rutin yang baru di sekolah...Walau sedikit terkejut namun aku terima ini sebagai proses belajar...Pengalaman pastinya akan mengajar aku menjadi manusia yang lebih matang...Insyaallah...


.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Wednesday, March 10, 2010

Keputusan SPM dah nak keluar

Esok keputusan SPM bakal diumumkan...
Tahun lepas ramai sepupu aku yang ambil SPM..
esok semua penantian mereka akan terjawab...
Adik aku belum lagi...
Yang bongsu tahun ni baru nak PMR...
Tak sabar aku nak tau keputusan mereka...
Siapa la agaknya yang dapat keputusan paling gempaq??
Tuan punya diri mesti sangat cuak...
Apa-apa pun kudoakan moga semuanya dapat keputusan yang cemerlang..


.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Thursday, March 4, 2010

Entry bergambar Kem kepimpinan

Kem kepimpinan SKM pada 27 dan 28 Februari di Tiram Indah Village. Layan gambar sudah kerana tiada kerajinan nak menulis panjang-panjang tapi hati masih nak update..Pelajar UITM Segamat sebagai fasilitator...Guru-guru hanya memantau apa-apa yang perlu..

masa untuk makanhalangan

Rempuh halangan



Taklimat sebelum memulakan aktiviti

4 dara

Masa untuk pulang





.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Monday, February 22, 2010

Penat


Sangat penat hari ni..
Rasa macam tiada semangat..
Mungkih penat balik kampung masih berbaki??
dek kerana perjalanan yang sangat jauh??
Sangat perlu untuk berehat buat masa sekarang..
Harap esok tenaga dan semangat dapt kembali seperti biasa



.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Friday, February 12, 2010

Image dr google

Hari ahad ni merupakan sambutan Tahun baru Cina dan di kesempatan ni aku nak mengucapkan selamat tahun baru cina kepada semua penganut agama Buddha..Aku akan pulang ke kampung esok sempena cuti umum Tahun Baru Cina...akan melepak dan berehat di rumah selama seminggu....alhamdulilah setelah 6 minggu berada di Pasir Gudang...aku diberikan cuti yang sedikit panjang yang membolehkan aku pulang untuk melepaskan rindu kepada keluarga di kampung...doakan perjalanan aku pulang dan kembali nanti selamat...aku akan singgah di KL untuk berehat dan tidur selama satu malam....penat nak memandu terus ke kampung...tambahan pula aku bertolak dari sini selepas zohor esok...sudah tentunya aku akan melalui perjalanan pada waktu malam jika meneruskan perjalanan ke kampung....insyaallah akan menyambung semula perjalanan pulang ke kampung pada hari ahad...


.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Wednesday, February 10, 2010

Sabar...sabar dan sabarlah


Dua hari yang agak tegang. Sekolah aku telah menggunakan jadual anjal kerana seramai 11 orang guru tiada kerana terlibat dengan kejohanan bowling MSSDPG...Dan nasib aku agak malang kerana telah diberikan 6 waktu kelas 5 Afdal. Kelas ni merupakan kelas paling hujung dan paling hardcore dalam sekolah. Semalam memang sangat menguji kesabaran. Budak-budak kelas tu hanya boleh diam paling lama 5 minit je.. Pelbagai cara aku gunakan untuk mengawal mereka yang sangat aktif itu...Sehinggakan tekanan menjaga kelas 5 Afdal telah memberikan kesan kepada mood aku seharian....


Tapi alhamdulilah..hari ini keadaan lebih terkawal...budak-budak kelas tu dapat senyap..Ini kerana aku telah menimbunkan kerja sehinggakan masing-maisng tak sempat nak menggangkat muka.. Cuma waktu yang terakhir je kembali macam biasa tapi keadaan masih terkawal...dan mungkin juga kerana dah bodan mengadap muka aku jer sepanjang hari...bayangkan 3 jam dengan cikgu yang sama...dah tentu la bosan budak-budak tu...sebelum ni aku hanya masuk 50 minit pada hari jumaat...Kadangkala aku kesian tapi bila dah apa yang aku cakap semua tak nak ikut...angin satu badan jugak aku...cuba la kamu berperangai baik tak perlu la cikgu memekik dalam kelas...



.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Wednesday, February 3, 2010

Apa patut aku buat??


Alhamdulilah...dah masuk minggu ke-5 aku mengajar di Johor ni...setakat ni semuanya alhamdulilah ok...cuma aku ada sedikit kejengkelan...setiap hari rabu kelas Pendidikan Seni aku adalah di waktu pagi...dan kelas 5 Amanah tu adalah berdekatan dengan pintu masuk dan tempat pengawal duduk...dah dua minggu kelas aku diperhatikan oleh pengawal dari luar kelas...minggu lepas siap bawak kerusi duduk di pintu belakang kelas..minggu ni plak duduk mencangkung di pintu depan kelas...naik rimas aku diperhatikan sepanjang kelas...dah macam dipantau plak rasanya...aku pun tak tau sama ada dia tertarik dengan kelas atau memang dah tak dak kerja nak buat...minggu lepas aku buat beg kertas dan minggu ni pula anyaman....kalau minggu depan berterusan macam ni harus aku terus cakap jer...aku nak tunggu dan lihat apa yang berlaku minggu depan plak


.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Saturday, January 30, 2010

Ada hikmahnya


Waktu aku berjalan-jalan ke blog kawan-kawan...aku terbacakan kata-kata ni...
Ku minta kepada Tuhan setangkai bunga segar, ia beri kaktus yang berduri. Ku minta kupu2 diberi ulat berbulu. Ku sedih dan kecewa..namun kemudian, kaktus itu berbunga indah sekali dan ulat bulu itupun menjadi kupu-kupu yang cantik... Itulah jalan Tuhan, indah pada masaNya..Tuhan tidak memberi apa yang kita harapkan, tapi ia memberi apa yang kita perlukan..Kadang2 kita sedih, kecewa, terluka, tapi jauh di atas segalanya Ia sedang mengatur yang terbaik dalam kehidupan kita..insyaAllah


Sangat indah dan membuatkan aku terfikir....dulu aku pernah memohon agar aku ditempatkan mengajar yang tidak jauh dari kampung aku agar mudah aku nak sambung belajar dan dekat dengan keluarga..tapi aku dihantar ke Johor...walaupun sangat jauh dari family tapi Alhamdulilah...mungkin Allah ingin permudahkan urusan aku untuk menyambung pelajaran kerana UTM tak jauh dari tempat aku mengajar...kursus yang ditawarkan pun menarik..aku juga dah cuba merisik dengan guru-guru sekolah yang sedang menyambung pelajaran di UTM...insyaallah yurannya mampu ditanggung...yang penting aku memerlukan tekad, usaha dan keazaman...

Di sini juga aku ada ibu dan bapa saudara yang mengambil berat..aku dan rakan-rakan dilayan bagai anak sendiri...satu keluarga tersebut menerima kehadiran aku dengan tangan yang terbuka... Walau sebenarnya aku pertama kali berjumpa dengan mereka adalah pada waktu aku pertama kali sampai ke sini 2 Januari yang lalu untuk melapor diri...Bapa saudara aku merupakan dua pupu kepada abah aku merangkap rakan sepermainan semasa kecil...Alhamdulilah...aku bersyukur walau masih ada beberapa perkara yang membuatkan aku tidak suka berada di sini namun ada juga yang masih membuatkan aku senang berada di sini...Aku harap akan dipermudahkanlah segala urusan aku di sini..




.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.

Wednesday, January 27, 2010

Aku kembali lagi di sini

Lama sudah tidak menulis di sini...Satunya kerana halangan internet...Aku sekarang telah pun memulakan tugas mengajar yang masuk minggu ke empat di daerah yang paling hujung di negeri Johor iaitu pasir gudang...Alhamdulilah aku bersyukur kerana aku berada di sekolah yang tidak memberikan banyak tekanan...moga ini akan berterusan...walaupun sebenarnya ada beberap perkara yang membuatkan aku tidak suka berada di Pasir Gudang ni...di lain masa aku akan ceritakan kisah dan ceritera hidup aku...rasanya selepas ini akan ada banyak perkara untuk diceritakan terutama kerenah murid-murid aku yang terdiri dapripada pelbagai bangsa dan agama..


.::Perfection is death because learning and changing means making mistakes::.